Monday, 4 March 2013

Ganggapura 'pulau' di tengah Titiwangsa

 

Selain aktiviti riadah, Ganggapura Campsite turut mengendalikan kursus motivasi seperti program bina semangat, perkhemahan kepimpinan untuk pelajar dan badan korporat.
 
INARAN rembulan yang menembusi hutan hujan tropika di tapak perkhemahan persendirian, Ganggapura Campsite mengindahkan lagi pemandangan lokasi itu yang masih mengekalkan kepelbagaian spesies flora dan fauna.
Terletak di Kampung Pasir Putih, Kelumpang, Hulu Selangor, Selangor, panorama lokasi itu semakin kelihatan menarik sebaik sahaja kami merentasi denai hutan dan meredah jeram yang airnya separas buku lali sejauh 50 meter.
Setibanya kami di sana pada pukul 7.00 malam baru-baru ini, kami terus dibawa menginap di sebuah rumah kayu yang dibina daripada kayu kitar semula oleh pemilik dan jurulatih kemahiran insan, Mohd. Effendy Mohamed Said. Menurutnya, nama Ganggapura itu mempunyai maksud kota atau bandar di dalam sungai.
Ini kerana katanya, perkataan gangga di dalam bahasa kesusasteraan Hindu kuno (sanskrit) bermaksud sungai, manakala menurut Kamus Dewan, perkataan pura bermaksud kota atau bandar.
"Gabungan kedua-dua perkataan ini amat menarik dan sebab itulah, saya menamakan tempat ini Ganggapura Campsite," katanya kepada .com.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah tersebut, kami menyalakan pelita dan mengambil kesempatan untuk berehat seketika.
Aktiviti sebenar pada malam itu bermula tepat pukul 9.00 malam.
Selepas bersiap, berbekalkan seluar mandi dan tuala, kami menuju ke jeram berhampiran untuk memulakan aktiviti meredah jeram sambil menikmati keindahan malam di lokasi tersebut.
Kejernihan air jeram tersebut menyemarakkan lagi semangat kami untuk menerokai segala isi perut jeram tersebut termasuk batu-batu sungai dan anak-anak ikan yang bermain di tepi tebing setelah diterangi lampu suluh.
Selepas puas berendam, kami pulang semula ke tempat penginapan.
Pada pandangan penulis, Ganggapura Campsite merupakan lokasi yang wajib dilawati pencinta alam yang ingin menghayati keagungan ciptaan-Nya.
Mana tidaknya, tidur kami pada malam itu sangat melenakan, lebih-lebih lagi selepas mandi air jeram yang sejuknya terasa hingga ke tulang.
Rata-rata pengunjung Ganggapura Campsite terdiri daripada mereka yang menggemari aktiviti riadah atau percutian berasaskan alam semula jadi.
Keesokan harinya, baru kami sedar yang lokasi ini berbentuk seperti sebuah pulau tropika yang dikelilingi air jeram yang mengalir dari Banjaran Titiwangsa.
Inilah keistimewaan Ganggapura Campsite yang menawarkan tapak perkhemahan mesra pengunjung yang terletak berhampiran Gunung Liang.
Waktu pagi kami pada hari itu dimulai dengan aktiviti mandi-manda di jeram.
Menariknya, jeram yang mengalir itu turut disenaraikan sebagai salah satu jeram terbersih di Selangor.
Kawasannya juga terpelihara dan pemiliknya melayan pengunjung seperti tetamu di rumah sendiri serta berusaha untuk mengekalkan keadaan semula jadi sebaik yang mungkin.
Sebagai contoh, tong sampah di kawasan itu tidak disediakan tetapi pengunjung dikehendaki membawa plastik sampah sendiri.
Ganggapura Campsite hanya menyediakan kemudahan asas seperti tandas dan tapak perkhemahan. Bagaimanapun, terdapat sebuah rumah kayu yang boleh memuatkan 20 orang dalam satu masa, serta kemudahan tempat memasak.
Selain aktiviti riadah, Ganggapura Campsite turut mengendalikan kursus motivasi seperti program bina semangat, perkhemahan kepimpinan untuk pelajar dan badan korporat.
Bagi mereka yang berminat mengunjungi lokasi ini, bolehlah menghubungi Mohd. Effendy di talian 019-2353779.
Pengunjung yang hendak bermalam di Ganggapura Campsite pula hendaklah membuat tempahan awal kerana pihak pengurusan hanya menerima satu kumpulan sahaja dalam satu masa bagi mengekalkan keadaan semula jadinya. - SYAHRIL


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20130302/pl_03/Ganggapura-pulau-di-tengah-Titiwangsa#ixzz2MdCslgFq
© Utusan Melayu (M) Bhd


More News:  http://Whazzup-U

No comments:

Post a Comment