Biarpun bukan semua, namun kenyataan itu ada kebenaran memandangkan tugasan hakiki seorang isteri dan ibu sedikit sebanyak mengehadkan kegiatan aktif yang dilakukan oleh golongan wanita.
Namun, sekumpulan wanita yang juga memegang status ibu dan isteri cuba memecah persepsi itu apabila bakal menyertai Ekspedisi Berkayak All Women Langkawi Return Challenge 2013 yang bermula pada 16 hingga 21 Mac tahun depan.
Ketua ekspedisinya, Shahida Yusoff, 39, berkata, ekspedisi berkayak selama enam hari itu julung kali dilakukan oleh sekumpulan wanita yang masing-masing telah berumah tangga.
Usaha itu sekali gus bagi membuktikan kepada masyarakat biarpun telah berkahwin, namun mereka masih bersemangat dan berupaya untuk melakukan kayuhan ekstrem.
"Ekspedisi ini seumpama mengembalikan semula pembabitan kami dalam bidang kayak ini secara ekstrem apabila kesemua peserta yang terlibat berumur 35 tahun ke atas.
"Semua peserta kayak kali ini telah membabitkan diri dalam kayak secara kejohanan dan pertandingan dari umur belasan tahun lagi. Peserta juga terdiri daripada bekas atlet kenu Malaysia yang pernah mengharumkan nama negara pada masa dahulu termasuk di Sukan SEA.
"Selepas semuanya berumah tangga, masing-masing membina haluan sendiri sehinggalah pada Januari tahun ini apabila pada majlis pertemuan semula yang mencadangkan untuk mengadakan ekspedisi ini," katanya ketika ditemui di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, bersama 15 lagi peserta dari Kuala Lumpur .
Kumpulan itu sedang menjalani latihan berkayak untuk mempersiapkan diri bagi ekspedisi itu, manakala mini ekspedisi setiap minggu akan dijalankan di Kampung Kuala Baru, Melaka.
Shahida memberitahu, All Women Langkawi Return Challenge 2013 adalah kesinambungan daripada ekspedisi yang terdahulu iaitu All Women Round Singapore Island yang diadakan pada tahun 1991, All Women Phuket - Langkawi Expedition (1993), All Women Langkawi Challenge (1994) dan All Women Mersing Kuantan (1995).
Ekspedisi itu katanya, dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Persatuan Kenu Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis dan persatuan kenu negeri-negeri.
Kata Shahida yang mahir dalam kayuhan kayak di jeram-jeram, ekspedisi itu akan bermula dari Kuala Perlis ke Kuah, Langkawi dan akan mengelilingi pulau-pulau di sekeliling Pulau Langkawi dengan jarak perjalanan sejauh 189 kilometer.
Apabila ditanya mengapa diadakan ekspedisi seperti itu bagi wanita yang sudah berumur, secara spontan Shahida menjawab, kegiatan lasak seperti itu mempunyai beberapa objektif antaranya menunjukkan semangat wanita yang jitu seiring dengan semangat Malaysia Boleh sekali gus memaparkan kehidupan yang sihat, menjalinkan semangat setiakawan dan perpaduan di kalangan peserta.
Beliau berkata, selain itu membuktikan mereka yang berumah tangga juga sebenarnya masih tahan lasak, berdaya saing dan berani menempuh cabaran serta dapat menerapkan nilai-nilai murni selain membuktikan peserta masih lagi mantap dan berkeyakinan tinggi.
"Berkayak memberi satu kepuasan kepada saya kerana dapat merasai ketenangan, menghilangkan tekanan apatah lagi apabila minat memang sudah ke arah itu.
"Menariknya, apabila keupayaan kita disaksikan oleh anak-anak dan suami yang secara tidak langsung dapat membangkitkan rasa bangga kepada mereka," jelasnya yang mempunyai tiga orang anak.
Katanya, pada ekspedisi kali ini para peserta akan melalui tempat yang mereka pernah singgah dahulu, bagi mengenang semula kenangan waktu ekspedisi ke Langkawi pada tahun 1994,
Ekspedisi kali ini membabitkan sekumpulan 40 peserta wanita dengan 20 buah kayak dengan peserta termuda berusia 36 tahun dan yang paling tua berumur 53 tahun.
Apa yang menarik, para peserta turut diiringi suami dan anak masing-masing yang akan berkhemah di tepi pantai di pusat-pusat persinggahan yang telah ditentukan.
Ekspedisi berkayak di laut memang banyak cabarannya, kata Shahida, antaranya ialah halangan daripada ombak besar yang tidak dijangka, pasang surut air laut, panas matahari, ribut, hujan dan petir.
"Peserta dijangka memulakan ekspedisi berkayak pada pukul empat pagi dan mereka akan berdayung selama lapan jam sebelum berhenti di check point dan sambung mendayung kembali.
"Pada waktu itu kami akan bersarapan di dalam kayak, malah bersolat juga di dalam kayak.
"Ada teknik tertentu untuk peserta kayak ketika memberikan isyarat untuk berhenti sebentar iaitu mengangkat pendayung ke atas dan pada masa yang sama semua peserta akan merapati kayak yang berhenti itu," katanya.
Shahida juga turut mempelawa bekas-bekas atlet berkayak yang berumur 35 tahun ke atas untuk turut serta dalam ekspedisi kali ini dan seterusnya menubuhkan sekretariat kayak sendiri.
Ini memandangkan selepas ekspedisi ke Langkawi itu, banyak lagi ekspedisi lain akan dilakukan antaranya ke Riau dan Brunei dan negara-negara luar lain.
Pada ekspedisi All Women Langkawi Return Challenge 2013 , Shahida turut meminta sumbangan daripada mana-mana pihak yang mahu menaja ekspedisi mereka, termasuklah kelengkapan baju, kayak, penginapan dan kemudahan lain.
Ini katanya bagi membolehkan kelancaran ekspedisi berkenaan.
Shahida boleh dihubungi di talian 019-2258437, Persatuan Kenu Malaysia, No. 52, Tingkat 1, Jalan Lumut, Damai Kompleks, Kuala Lumpur (03-40429820).
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rekreasi/20121101/rk_01/Cabaran-berkayak-ke-Langkawi#ixzz2G3GOmsvG
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment