Kejayaan kumpulan Rootmybox yang dianggotai Arith Amami Mislan, 24; Muhd. Shaqeel Muhammad Soffian, 22; Eddy Azzahar Razak, 22; Mohd. Hazman Arif, 23, dan Mohd. Shazwan Jalani, 22, sekali gus mengetepikan cabaran 65 kumpulan lain yang turut bertanding.
Melalui penghasilan sistem keselamatan rangkaian yang diberi nama Virtual Private Network, pasukan itu menggondol hadiah utama kategori Poster dan Persembahan dengan masing-masing menyediakan hadiah wang tunai sebanyak RM300.
Menurut wakil kumpulan berkenaan, Arith Amami, mereka mendapat ilham mencipta rangkaian tersebut sejak tiga tahun lalu selepas menyedari mempunyai potensi dan mampu dikomersialkan selain boleh menjana pendapatan tambahan.
"Sekarang ini dunia semakin canggih dan penggunaan internet semakin meluas termasuk urusan perbankan, belian dalam internet dan sebagainya.
"Saya dapat idea sejak 2009 dan sedikit demi sedikit kami kaji hingga terhasilnya ciptaan ini.
"Kelainan perisian keselamatan ini adalah ia produk mesra pengguna dan mudah diselenggarakan selain yuran bulanan yang murah iaitu RM10 sebulan," katanya selepas majlis penyampaian hadiah berkenaan di sini.
Cabaran Pelan Perniagaan Teknousahawan 2012 anjuran Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat UTM yang julung kali diadakan itu bertujuan menyediakan platform bagi mengetengahkan idea-idea berasaskan teknologi kepada pihak industri dan pelabur.
Tambah Arith Amami, kejayaan menghasilkan produk berkenaan memberi pulangan lumayan kerana mereka boleh menjana pendapatan bersih hampir mencecah RM1,000 sebulan.
Ujarnya, kejayaan itu juga menjadi pemangkin untuk menghasilkan lebih banyak produk dan menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna.
"Kejayaan ini menjadi pemangkin semangat kami untuk mengemas kini perisian berkenaan kerana kami sangat mengutamakan kepuasan pengguna menerusi perkhidmatan terbaik," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kampus/20121226/ka_04/Kumpulan-Rootmybox-harumkan-UTM#ixzz2HCXMFX54
© Utusan Melayu (M) Bhd
More News: http://whazzup-u.com/forum/topics/kumpulan-rootmybox-harumkan-utm
No comments:
Post a Comment